Ucapan Terbaru

Daisypath Anniversary tickers

Time, oh time..

Posted on 10/11/2009 at 8:06:14 AM

Salam ‘alaikum..

Its been a while since we last updated. Ramadhan came.. and went. Syawal came and about to leave. How fast time flies. Counting the days, we’ve been married for 3 months and a week (as I write this). A blessing indeed, getting to know my wife and spending Ramadhan and Syawal with her. Time has definately flown by..

*nodding*..

yes, it has hasn’t it..

Pondering, time has always been an issue for me. Knowing Allah will ask where our time on earth has been spent on, syaitan will always find ways to make us waste the limited time we have.

time

Time waits for no man, as they say. Oh, how true it is.. but as Allah created time, He can expand or narrow it to whomever he chooses. A 24-hour day can sometimes feel like 10 hours (when you do nothing and say ‘oh, its bed time already?’ at 9pm) or feel like 40 hours. How well have we spent our time..

By Al-`Asr (the time),
Verily, man is in loss,
Except those who believe and do righteous good deeds, and recommended one another to truth, and recommend one another to practise patience.

I end with a vow to continue to fully use my time, as how Allah explains it in Surah Al-Asr - believe, do righteous good deeds and recommend to others to the truth and to practise patience. You people are my witnesses (yes, you!)

Haish.. this might be hard.


Dedikasi buat adik-adik

Posted on 8/14/2009 at 8:24:24 PM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah…. hari ini genap hari ke empat puluh satu melangkah ke alam rumah tangga. Saya sendiri tidaklah menghitung setiap hari, cumanya bila disebut dalam ucapan alu-aluan suami saya kepada tetamu majlis makan-makan di rumah kami semalam, barulah saya tersedar, sudah lewat sebulan lebih kami melayari hidup bersama. Terima kasih abang, kerana sudi meluangkan masa bersama tetamu-tetamu istimewa saya =)

Semalam, detik yang sangat bermakna buat saya. Menjadi impian sejak kembali ke Melbourne, untuk menjemput adik-adik first year dan beberapa orang sisters lagi datang ke rumah baru kami, Baitul Muttaqeen ( rumah orang-orang yg bertaqwa).

Mengapa mereka? …
Kerana menyedari, saya tidak punya banyak kesempatan masa untuk beramah mesra dengan mereka. Sibuk dengan komitmen kerja, dan jadual rutin yg tiada titik pertembungan, membuatkan begitu sukar mencari peluang dan ruang. Hakikat bahawa saya bukan lagi pelajar di uni, membuatkan jarang sekali dapat bersua muka. Namun di hati, adik-adik ini sentiasa ada tempat istimewa.

Mengapa?
Kerana setiap tahun, kehadiran adik-adik baru di Bumi Melbourne, sentiasa memperbaharui iltizam saya dengan tanggungjawab saya sebagai seorang ‘kakak’.

Dalam dunia realiti, saya adalah seorang ‘kakak’ kepada seorang adik. Adik saya, tiga tahun lebih muda. Sangat rapat dengannya, namun kami telah mula berjauhan sejak saya di Tingkatan Satu. Belajar di TKC, kemudian di KMB, dan seterusnya ke Monash Uni, saya hanya mampu melihatnya meningkat dewasa dari kejauhan. Dan terasa begitu terkilan apabila tidak dapat bersamanya di saat-saat dirinya sangat memerlukan seseorang di sisi. Pasti tidak sama, sokongan yg diperolehi melalui panggilan telefon, sms,  email, berbanding dengan sokongan kehadiran fizikal, yang lebih memudahkan untuk memahami permasalahan, dan membantu mencari penyelesaian.

Namun begitu.. hati ini sangat tenang, apabila mengetahui sentiasa ada tangan-tangan yang prihatin, jiwa-jiwa yang ikhlas membimbing dirinya, di fasa yang sangat penting dalam kehidupan; usia remaja meningkat dewasa. Ketika  ini,  setiap individu sedang mencari dirinya sendiri, membina identiti, bersemangat tinggi untuk mengembangkan segala potensi. Saya tidak risaukan pencapaian akademiknya, kerana ada pensyarah yang  dibayar gaji untuk mengajarnya dan memastikan dia berjaya. Namun, saya risaukan perkembangan peribadinya, sahsiahnya, ideology pemikirannya.. kerana tiada siapa yang akan peduli soal ini lagi setelah bangku persekolahan ditinggalkan. Melangkah ke alam universiti, jauh dari ibu bapa yg tidak tahu apa yg dilakukan sehari-hari, kebebasan untuk menentukan ke mana masa dan wang ingin diagihkan, pengaruh rakan-rakan yang sangat dominan, satu transisi yang sekiranya tidak diuruskan dengan baik, inilah titik tolak kerosakan-kerosakan pada fasa seterusnya.

Pada peringkat ini, sekiranya salah kawan yang dipilih, silap jalan yang diambil, tidak tepat idola yang dicontohi, akan lahirlah individu-individu yang tidak dinafikan cemerlang, serba gemilang dalam akedemik, namun dimiliki oleh jasad yang sahsiahnya tidak islamik, matlamat hidupnya tidak jelas, jati dirinya bercelaru.

Perlunya hati-hati yang masih suci murni ini, telus dan tulus ini dibentuk sebaiknya hingga menjadi ‘doktor’ kepada umat. Penyelamat umat, bukan perosak. Adik saya bakal guru bahasa Inggeris. Jauh di sudut hati, saya mengimpikan seorang guru Bahasa Inggeris yang bukan sekadar boleh mengajar lidah melayu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, namun punya kredibiliti untuk mendidik anak-anak muridnya menjadi  penghuni syurga. Ini bukan sakadar kerja seorang ustazah, lantaran kerosakan pada hari ini sangat luas melata. Semua ada peranan untuk merawat umat yang sedang sakit ini.

Dan kerana itulah, saya ingin melakukan perkara yang sama. Sungguhpun, mereka bukanlah adik kandung saya, tetapi mereka tetap adik-adik saya. Saya yakin, sekiranya saya ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab ini, pasti Allah akan kurniakan pertolongan yang sama kepada adik saya, sungguhpun melalui tangan orang lain.

Adik-adik akak,
Terima kasih kerana sudi memenuhi jemputan akak, menjadi tetamu teratak sederhana akak dan suami. Semalam, Baitul Muttaqeen meriah dengan senyum yang ceria, usik mengusik yang memecah tawa, soalan-soalan cepu emas yg mencabar minda dan mulut yang kecoh dengan pelbagai cerita. Hari ini semua itu tinggal kenangan. Namun akak harap, ia adalah permulaan untuk satu jalinan ukhuwwah yang lebih erat. Semoga pertemuan semalam diberkati dengan adanya pertemuan-pertemuan akan datang yang lebih manis….kerana ukhuwwah kita fillah.

Dedikasi buat semua…
Aku sayang kamu bukan kerana kita sebaya
Aku sayang kamu bukan kerana kita serumah
Aku sayang kamu bukan kerana kita sejurusan
Aku sayang kamu bukan kerana kita sekepala
Aku sayang kamu bukan kerana kita meminati hobi yang sama
Aku sayang kamu bukan kerana selalu berjumpa

Aku sayang kamu.. kerana Dia
Kerana kamu saudara seakidah
Kerana kamu pengikut sunnah Rasulullah
Kerana kamu pembaca Al Qurqan Mulia
Kerana kamu… istimewa

Akhir kalam, peringatan buat diri dan kepada semua, terutama adik-adik yang masih lagi dalam fasa awal di bumi Melbourne, niatkanlah permusafiran kalian ke Bumi Kanggaroo ini adalah untuk membina diri menjadi seorang individu yang lebih baik. InsyaAllah, Allah akan tunjukkan jalan. Bersama-samalah kebaikan dan orang-orang yang ingin melakukan kebaikan. Dan apabila hidayah Allah mengetuk pintu hati, jangan bertangguh menerimanya, kerna takut-takut Allah menariknya kembali….dan boleh jadi ini adalah tawaran terakhir. Masa tidak menunggu kita. Tidak tahu bilakan ajal. Adakah kita sudah bersedia?

Coretan Pengantin

Posted on 7/17/2009 at 10:30:05 AM

7

17 July 2009

“Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih sayang. Sungguh pada demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi yang berfikir”
(Ar Rum : 21)

Sukar untuk mencari kalimah yang paling tepat menggambarkan perasaan setelah hampir dua minggu melayari alam rumah tangga. Benarlah kata ramai orang, period ‘honeymoon’ saat paling indah.

Namun, keindahan yang tidak terungkap, apabila dalam tempoh masa inilah segala-galanya adalah yang pertama. Pertama kali berbicara bertentang mata, pertama kali makan bersama, pertama kali jalan berpimpinan tangan, pertama kali bergelak dan ketawa, dan pertama kali dua hati berkongsi apa yang dirasa. Paling indah, dia kini adalah suami, dia kini adalah isteri - tiada apa yang dilakukan bersama, dengan redhaNya melainkan mendatangkan pahala. Barulah difahami, maksud perkahwinan itu adalah ibadah.

Lafaz hamdalah sentiasa basah di bibir, menjadi wirid di hati, setinggi-tinggi syukur kepada Allah, atas nikmat ini. Sungguhpun ia pasti masih belum memadai setanding kurniaan Allah yang agung ini. Tiap hari, semakin difahami, maksud mawaddah wa rahmah, erti sakeenah.

Ramai yang bertanya,

“Macam mana boleh kenal?”

Tidak kurang yang berani meneka.

“Sure ni arranged marriage kan?”

“Yup,this is an arranged marriage.” Kerana kami yakin, ini adalah perkahwinan yang diatur Tuhan. Tiada apa yang berlaku tanpa izinNya. Allah Taala yg mempertemukan dua hati, dan pastinya Allah adalah match maker yang Maha Sempurna. Berbahagialah bagi hamba-hambaNya yang meletakkan sepenuh keyakinan terhadap pilihan Allah buatnya.

Ada yang sangat sukar untuk percaya,

“Korang tak pernah keluar sama-sama ke? Tak pernah nampak berbalas sms, apatah lagi terserempak keluar dating. Beli barang hantaran pon asing-asing. Hmm, sure ke korang nak kahwin ni?”

Hakikatnya, bercinta selepas kahwin… Adakah ia sekadar teori? Ataupun amal yang praktikal, namun hanya segelintir yang mempercayai? Sedikit pengalaman lalu untuk dikongsi.

**************

Mengenali Afzal, sejak beliau Tahun Pertama di Melbourne Uni. Caranya mudah, kerana Afzal seangkatan dengan ramai kenalan saya yang sebaya dengannya. Namun, perkenalan itu tidak lebih dari sekadar mengetahui nama, dan tahu kewujudannya. Hari berlalu terus dengan pelbagai kisah dan cerita. Dua individu yang melalui lakaran hidup yang berbeza. Seorang di Monash, seorang di City. Seorang aktif dengan aktiviti-aktiviti kebajikan pelajar, seorang terkenal dengan kehebatan multimedianya. Hingga suatu hari, saya di penghujung Tahun Tiga, Afzal di Tahun Dua seorang kenalan rapat menyatakan hasrat untuk memperkenalkan kami berdua. Dilihat kami ada keserasian, dilihat kami sesuai untuk saling berkenalan. Sungguh cantik aturan Allah. Cadangan ini datang sewaktu kedua-dua merasakan telah tiba masa untuk lebih serius memikirkan persoalan memilih pasangan. Sewaktu kedua-duanya merasakan masanya telah tiba untuk menyediakan diri ke fasa seterusnya dalam kehidupan. Pastinya detik rasa ini bukan sekadar kerana mengikut trend semasa, apatah lagi peer pressure. Ada matlamat yang lebih besar untuk dicapai. Memahami pilihan melangkah ke alam perkahwinan semasa masih bergelar student bukanlah perkara mudah, maka sebarang keputusan perlukan pertimbangan yang semasaknya.

Allah sebaik-baik Perancang. Setelah istikharah dan istisyarah (perbincangan bertanya pendapat tentang calon), akhirnya kami tekad untuk mengikat perhubungan kami dengan pernikahan.

“..Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertaqwalah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal.”
(Ali Imran :159)

Niat yang baik di permulaan, bisa sahaja rosak di pertengahan dan akhirnya menyeleweng di pengakhiran. Bimbang, hati larut dipermainkan syaitan, tenggelam mengikut kehendak nafsu dan perasaan. Kami sepakat untuk berbincang segala proses menuju majlis akad hanya melalui email, di cckan kepada kenalan rapat yang diharap dapat memperbetulkan langkah kami sekiranya terkesan tanda-tanda penyakit hati. Diskusi sangat ringkas, sekadar sampai kepada tujuan. Sering disulami tazkirah agar niat kembali dibersihkan. Kadar kekerapan, tidak lebih dari apa yang diperlukan.

Segelintir yang menyatakan kebimbangan…

“Bagaimana mengenali dirinya… Kalau sekadar ber email?”

Lebih selesa mengenali bakal suami saya melalui ibunya. Sifat ‘Mama’ yang sangat peramah, menghilangkan rasa kekok, dan mudah dibawa berbicara. Selebihnya, saya masih dalam proses berkenalan dengannya selepas kami disatukan. Terasa lebih mudah menerima, kelebihan mahupun kekurangan kerana tiada expectation yang dibina sepanjang proses sebelum pernikahan. Tiada perbandingan antara ‘dia’ sebelum kahwin dengan ‘dia’ selepas kahwin yang sering mengundang kekecewaan.

Untuk kami sampai ke fasa ini, tidaklah mudah jalan yang perlu ditempuh. Fasa yang paling mencabar adalah untuk meyakinkan kedua ibu bapa bahawa keputusan ini adalah satu keputusan yang benar-benar matang. Bukan kerana mengikut perasaan, bukan kerana mengikut-ikut kawan. Dua tahun untuk meyakinkan ibu dan ayah. Dua tahun juga perhubungan ini perlu dipelihara dari segala fitnah. Istiqamah dalam mujahadah. Akhirnya, biiznillah, hati mereka lembut juga, mungkin setelah melihat kesungguhan dan keyakinan kami. Mungkin juga berkat doa sahabat-sahabat yang memahami.

Semakin menghampiri hari yang bersejarah, tidak dapat tidak, hati semakin penuh debaran. Berdebar memikirkan bagaimana untuk menghadapi pertemuan kali pertama, namun di sebalik debar, ada jiwa yang sangat tenang, kerana yakin Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya yang mengharapkan redhaNya.

Akhirnya dua hati ini disatukan dalam pernikahan yang direstui keluarga tercinta, lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan apa yang haram sebelumnya, walimah sederhana untuk berkongsi berita gembira bersama sahabat handai dan sanak saudara.

Alhamdulillahirobbil a’lamin, mungkin inilah kalimah terbaik menggambarkan perasaan kami kini. Merasai kemanisan ‘reward’ dari Allah atas mujahadah selama ini. Semakin memahami rahsia syariat Ilahi. Semakin meyakini ajaran Islam yang meraikan fitrah manusia dengan cara yang lebih suci. Perasaan ingin meyanyangi dan disayangi, mencintai dan dicintai. Namun, ada pengorbanan yang diperlukan. Ada keikhlasan yang perlu dibuktikan. Ada syariat yang perlu dipertahankan. Ada kesabaran yang perlu ditunjukkan. Sebelum yang haram menjadi halal.

Dan begitu indah apabila segalanya adalah kerana mengharap redhaNya semata-mata. Pernikahan untuk mengikut sunnah, pernikahan untuk mencari barakah, pernikahan untuk melahirkan generasi penyelamat ummah.

Semoga rumah tangga yang baru berusia dua minggu ini, mampu menjadi syurga untuk menyampaikan kami ke syurga yang lebih abadi. Mampu menjadi qudwah untuk manusia, dan medan amal untuk kami berdua. Masih jauh perjalanan kami. Jalan di hadapan tidak akan lebih mudah. Esok hari tidak akan bertambah lapang. Namun, semoga jiwa yang tenang, hati yang tenteram mampu memberi kekuatan untuk terus menempuh apa jua ujian yang mendatang, sama ada nikmat ujian kesusahan, mahupun kesenangan. Semoga matlamat yg satu, mencari redha Allah dalam pernikahan dapat meredakan hati apabila marah, meluputkan benci apabila berselisih, membuang ego yang mengundang pertengkaran, mengelakkan kekecewaan pada kekurangan dan membersihkan hati dari riya’ atas kelebihan.

Terkenang nasihat seorang sahabat…

Ramai pasangan yang berkahwin, namun tidak semua perkahwinan diberkati.

Akhir bicara, carilah barakah dalam tiap langkah. Apatah lagi untuk melangkah ke fasa baru yang sangat penting ini. Pastikan betul pada niat, betul pada syariat.

Dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Al Furqan:74)

Ya Allah, Barakallahulakuma, wa barak ’alaikuma, wa jama’a bainakuma fi khair.

Terima kasih atas segala ucapan, iringan doa, hadiah mahupun nasihat-nasihat untuk kami. Hanya Allah sebaik-baik Pemberi Ganjaran.

Ruangan ucapan

Posted on 5/28/2009 at 8:13:57 AM

Assalamualaikum buat semua..

Kami mengharapkan doa anda dan nasihat yang baik. Jemputan ke walimah buat semua pelawat. Jika anda berpeluang dan berhajat untuk hadir, minta jasa baik untuk memaklumkan kepada saya (walimah di Ampang, Selangor) atau kepada Baiyah (walimah di Jengka 11, Pahang). Kami dahulukan dengan jutaan terima kasih.

Wassalam.

Perkahwinan itu ibadat

Posted on 5/27/2009 at 11:45:58 PM

Pernikahan merupakan suatu yang dianggap suci. Islam mengiktiraf perkahwinan di antara lelaki dan perempuan dalam mana-mana agama kerana ia memastikan keturunan manusia itu tetap suci, berkembang dengan baik dan bebas daripada unsur-unsur yang memporak-perandakan. Perkahwinan dalam islam dianggap sebagai ‘perjanjian yang kuat’ atau mitsaqan ghaliza kerana ia adalah sebuah perjanjian yang suci yang ikatannya amat kukuh dan kuat, disertai tanggungjawab-tanggungjawab yang harus dipikul oleh kedua-dua bakal mempelai, terutama pihak lelaki. Melalui perkahwinan, terikatlah hubungan yang sah di antara lelaki dan perempuan, bersama-sama menempuh kehidupan meneruskan perjuangan sebagai hamba Allah di muka bumi serta melahirkan anak-anak yang bakal meneruskan perjuangan untuk Islam. Ikatan ini memberi maksud bahawa kedua-dua pengantin bukan sekadar berkahwin sesama mereka sahaja, tetapi telah ‘berkahwin’ dengan seisi keluarga pengantin, secara langsung dan tak langsung meluaskan lagi ukhuwwah islamiah di antara umat islam.

Kita sebagai umat Islam, mestilah memandang urusan perkahwinan sebagai ibadah kita kepada Allah apabila dilaksanakan menurut hukum Allah. Kedua-dua pihak mengharap keredhaan dan ganjaran Allah. Oleh kerana itu kedua belah pihak mestilah mengetahui ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan kewajipan suami-isteri rumahtangga dan keluarga, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam dengan adab-adab itu. Tolong menolong ke arah kebaikan, menuju takwa dan ke arah taat kepada Allah di dalam pergaulan mereka. Harga menghargai, hormat-menghormati dan kasih sayang di antara keduanya Semuanya itu mesti di atur menurut syariat Islam.

“Apabila seseorang hamba telah berkeluarga, bererti dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya. Maka takutlah kepada Allah terhadap separuh yang lain.” (Hadith riwayat At-Tabrani)